KUCHING 2 Feb. - Datuk Ibrahim Mahmud, 68, adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia di Hospital Pakar Kuching selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di No. 9, Bong Ching Terrace, Jalan Rock di sini pagi ini.
Anak sulung Allahyarham, Datuk Ahmad Ibrahim, 41, berkata, arwah bapanya itu disahkan meninggal dunia pukul 8.10 pagi ini selepas diserang angin ahmar.
Menurut beliau, ibunya Hajijah Abdul, 60, menyedari arwah bapanya tidak sedarkan diri dan tidak bernafas pada pukul 5 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Kuching pada pukul 6 pagi ini.'Allahyarham adalah anak kedua daripada 10 beradik dan arwah meninggalkan seorang balu, lima anak serta 14 cucu," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis pengkebumian itu Abdul Taib bersama isterinya, Puan Sri Ragard Kurdi Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Ali Mahmud yang juga adik kepada Allahyarham.
Jenazah Ibrahim dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, Jalan Bako bersebelahan pusara ibunya, Hamidah Yakub pada pukul 4.30 petang ini.
Ibrahim yang pernah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan Pengarah Kristal Harta Sdn. Bhd. dan juga Pengarah Eksekutif Sarawak Pulp Industries Sdn. Bhd.



0 comments:
Post a Comment